Monday, March 29, 2010

Polis tahan kumpulan samun Botak Perdana

2010/03/29

JOHOR BAHRU: Polis berjaya menahan sekumpulan tiga lelaki Khamis lepas dipercayai menyamar sebagai anggota polis dan melakukan aktiviti menyamun di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata kumpulan bergelar Botak Perdana itu dianggotai lelaki berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun dan salah seorang daripadanya merupakan bekas polis bantuan di sebuah jabatan kerajaan di sini.

Dua lagi suspek adalah adik-beradik yang bekerja sendiri.

"Kumpulan ini menahan mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai polis, memasukkan mangsa ke dalam kereta sebelum menyamun mangsa dan kemudiannya meninggalkan mangsa di tempat tertentu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mokhtar berkata, mereka ditangkap jam 11.30 pagi dalam satu serang hendap di kawasan Tampoi di mana polis berjaya merampas satu pas polis bantuan, dua tali pinggang hitam berlogo polis, gari, buku nota polis, sehelai vest berlogo polis, sepasang baju seragam polis berpangkat Konstabel, dua helai jaket hitam berlogo polis serta topi bertulis ''CID'' dan polis serta dua keping kad keahlian Pekida.

Pihaknya percaya dengan tertangkapnya kumpulan itu polis berjaya menyelesaikan 15 kes samun dan menyamar polis di sekitar bandar raya ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan (Samun Berkumpulan dan Menyamar) dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan.

Mokhtar turut mengingatkan orang awam agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Orang awam berhak untuk meminta kad kuasa dari mana-mana pihak yang mengaku polis yang menahan mereka sebagai bukti pihak itu adalah polis yang sebenar.

Beliau berkata kad kuasa anggota Konstable sehingga ke Sub Inspektor berwarna kuning manakala pegawai berpangkat Inspektor ke atas berwarna biru.

-- Bernama

No comments:

Post a Comment