TUMPAT: Seorang wanita warga emas ditemui mati dipercayai dibunuh akibat dipukul dengan senjata tumpul di bahagian belakang kepala, dalam kejadian di Taman Harmoni, Berangan, dekat sini, pagi semalam.
Kejadian berlaku ketika mangsa, Siti Bidah Hussain, 56, tinggal bersendirian di rumah berkenaan dan mayatnya ditemui jirannya dalam dalam keadaan berlumuran darah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim, berkata jiran terbabit kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis pada jam 7.30 pagi.
"Kes berkenaan masih dalam siasatan polis dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tumpat (HT) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenainya diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Asisten Superintendan Mohd Azmi Mohd Ali menerusi talian 09-7257222 atau balai polis berdekatan," katanya.
Sementara itu, jiran mangsa, Tengku Maziah Tengku Muda, 60, berkata beliau ke rumah mangsa pada awal pagi dan memanggil nama mangsa beberapa kali, tetapi tidak dijawab.
Katanya, selepas menunggu seketika dan mengesyaki sesuatu berlaku, beliau ke rumah seorang lagi jiran untuk mengambil kunci rumah mangsa yang selalu ditinggalkannya di situ.
"Sebelum ini, mangsa pernah memberitahu, jika dia tidak keluar rumah jam 10 pagi, saya diminta mengambil kunci dari rumah seorang lagi jiran kami.
"Selepas memperoleh kunci, saya bersama seorang jiran yang memasuki rumah mangsa dan membuka lampu di ruang tamu serta bilik terkejut melihat mangsa dalam keadaan meniarap, dengan kain batik dipakainya terselak sehingga paras pinggang, manakala kesan darah pula ada pada bantal tidur dan bantal peluk.
"Saya meminta bantuan jiran menghubungi polis mengenai kejadian itu, selain menghubungi dua anak perempuannya yang tinggal di Putrajaya dan Kuantan," katanya.
Thursday, March 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment