Tuesday, March 30, 2010

Anwar mahu Suruhanjaya Diraja siasat APCO

2010/03/30
KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa kerajaan membatalkan kontrak APCO Worldwide dan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat pelantikan firma komunikasi antarabangsa itu yang didakwa menjejaskan keselamatan negara.

Anwar (PKR-Permatang Pauh) berkata ini kerana latar belakang APCO dan modus operandi firma antarabangsa itu sebagai perunding komunikasi negara diragui dan didakwa mempunyai akses kepada maklumat strategik negara.
Beliau berkata demikian ketika memberikan penjelasan mengenai desakan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) bagi merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mendakwa gagasan 1Malaysia ditiru daripada slogan "One Israel" yang dikaitkan dengan APCO. Namun APCO pada 18 Mac lalu menafikan dakwaan berkenaan.

Bagi menyokong dakwaannya, Anwar mengemukakan dua perjanjian iaitu perjanjian antara APCO dan kerajaan Malaysia bagi memulihkan imej negara di peringkat antarabangsa dan perjanjian antara APCO dan kerajaan Israel ketika Ehud Barak ntera Israel, juga bagi tujuan sama.

Bagi perjanjian pertama yang ditandatangani pada 4 Ogos 2009, beliau mempersoalkan kenapa Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi saksi perjanjian yang ditandatangani antara wakil kerajaan dan APCO.

Dalam penjelasannya, Anwar juga menyebut mengenai peranan sebuah firma perunding tempatan, Ethos Consulting, yang didakwa bertanggungjawab memperkenalkan APCO kepada Perdana Menteri.
Beliau turut mendakwa APCO mempunyai kaitan dengan pentadbiran Najib sebelum 1Malaysia diperkenalkan melalui syarikat Mind Team Sdn Bhd di mana pengarah syarikat terbabit adalah ketua pegawai eksekutif APCO di Kuala Lumpur.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata usaha merujuk Anwar kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen perlu dibuat melalui usul untuk dimuatkan sebagai peraturan mesyuarat. - Bernama

No comments:

Post a Comment