Tuesday, March 30, 2010

Tiga kumpulan pengedar dadah tumpas

Kang Chez Chiang (kiri) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR 30 Mac 2010 - Polis menumpaskan tiga kumpulan pengedaran dadah dalam serbuan pada 26 dan 28 Mac lalu, hasil penahanan lima lelaki termasuk seorang warga Nigeria di sekitar ibu negara.

Dalam tiga operasi berasingan itu, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur turut menemui pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai kira-kira RM230,000.

Ketuanya, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah unit kondominium di Jalan Kuching dan menahan dua lelaki, masing-masing berusia 32 dan 36 tahun.

Katanya, hasilnya polis merampas beberapa jenis dadah iaitu 2.2 kilogram (kg) heroin, satu kg. ganja, 5.5 gram syabu dan 60 biji pil Eramin 5.

"Ketika serbuan dilakukan, kedua-dua lelaki itu sedang membungkus dadah dalam peket kecil yang dipercayai untuk pasaran Lembah Klang.

"Polis juga menemui dua alat penimbang dan sebuah buku nota yang mengandungi senarai tempahan pelanggan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Chez Chiang memberitahu, salah seorang daripada mereka baru bebas daripada tahanan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) Disember lalu namun bergiat aktif semula.

Menurut beliau, serbuan kedua dilakukan pada pukul 5 pagi kelmarin, di sebuah rumah di Taman Pusat Kepong dan berjaya menahan seorang lelaki warga Afrika.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek berusia 29 tahun, polis menemui 60 gram dadah kokain. Dia didapati memasuki negara ini sejak setahun lalu," katanya.

Katanya lagi, pada hari sama pukul 6 petang, JSJN Kuala Lumpur mencatat kejayaan ketiga apabila menahan dua lelaki berusia 40 tahun di sebuah restoran di Jalan Sungai Besi.

"Hasil pemeriksaan ke atas premis itu menemui 10 peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu.

"Anggaran beratnya 257 gram serta nilainya kira-kira RM90,000. Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai tukang kayu dan tukang cat kereta itu juga didapati positif dadah syabu," ujar Chez Chiang.

Tambahnya, kesemua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan bakal berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment