Thursday, March 4, 2010

Wanita Indonesia ditemui mati dijerut

KLANG 4 Mac 2010 - Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dipercayai akibat dijerut dengan wayar elektrik di Kampung Hamid Tuah, Teluk Gong, Pandamaran di sini pagi ini.

Mayatnya ditemui dalam keadaan tertiarap oleh orang awam kira-kira pukul 10 pagi ini yang kemudian memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, sebaik sahaja menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

"Polis mendapati leher mayat itu diikat dengan wayar elektrik. Bagaimanapun, tiada kesan pergelutan atau senjata ditemui di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad berkata, berdasarkan keadaan mayat, polis tidak menolak kemungkinan mangsa yang berusia antara 35 hingga 40 tahun itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di situ.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment