Wednesday, March 10, 2010

Tiga geng lumpuh: Polis temui barangan curi

SIBU 10 Mac 2010 - Polis berjaya menyelesaikan sebanyak 20 kes pecah rumah dan curi kenderaan di bandar ini serta menemui semula barangan curi bernilai RM200,000 selepas menumpaskan tiga kumpulan penjenayah, baru-baru ini.

Tiga kumpulan penjenayah terbabit adalah Geng Ah Huat, Tasa dan Superman.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, polis turut menahan sembilan lelaki berusia lingkungan 20-an dipercayai anggota kumpulan terbabit dengan dua daripadanya Geng Ah Huat, Tasa (tiga suspek) dan Superman (empat suspek).

Menurutnya, hasil serbuan itu, polis turut merampas empat buah kenderaan iaitu Hyundai Matrix, Proton Waja, Toyota Altis, Perodua Kenari serta dua buah motosikal.

"Ketika ini, kita sedang memburu saki baki anggota tiga kumpulan terbabit dengan masing-masing seorang dari Geng Tasa dan Superman manakala empat orang lagi daripada Geng Ah Huat.

"Polis telah mengenal pasti identiti kesemua mereka itu. Suspek yang diberkas kini ditahan reman sehingga 11 Mac untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dalam pada itu, Shafie memberitahu, siasatan yang dibuat sejak 17 Februari hingga 6 Mac lalu membawa kepada penemuan beberapa barangan curi seperti televisyen, komputer riba, jam tangan berjenama, arak serta pemain DVD.

Katanya, siasatan awal polis juga mendapati ketiga-tiga kumpulan tersebut dipercayai bergiat aktif sejak pertengahan tahun lalu dengan modus operandi bergerak pada waktu malam dan awal pagi.

Malah, tambahnya, ahli-ahli daripada tiga kumpulan berkenaan dipercayai saling mengenali bagaimanapun beroperasi secara berasingan.

"Kesemua suspek dipercayai penagih dadah jenis syabu dan tidak memiliki pekerjaan tetap.

"Tiga daripada mereka yang ditahan itu merupakan banduan yang baru sahaja keluar dari penjara sementara yang lain turut mempunyai rekod jenayah lampau," ujarnya.

Pada masa yang sama, Shafie memberitahu, polis turut menahan dua lelaki dan disiasat di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan dan memiliki barangan curi.

No comments:

Post a Comment