2010/03/20
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri warga asing memanjat dan bersembunyi di bumbung rumah yang mereka duduki bagi mengelak daripada dicekup pihak berkuasa yang menjalankan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin di Ampang Jaya awal pagi ini.
Mereka adalah antara kira-kira 125 warga asing yang diperiksa dalam operasi itu di sekitar kawasan perumahan Taman Datuk Ahmad Razali.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Amiruddin Jamaluddin, berkata operasi itu dijalankan selepas mendapat aduan daripada penduduk setempat mengenai kebanjiran warga asing di kawasan penempatan mereka. "Kita dapat maklumat adanya kewujudan warga asing yang menghuni di kawasan perumahan ini.
"Akibat kekhuatiran dan ketakutan penduduk, pagi ini kita melancarkan operasi bersepadu bagi menahan warga asing yang disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya.
Beliau berkata, seramai 51 warga asing termasuk dua kanak-kanak ditahan.
"Daripada yang ditahan itu, 19 adalah lelaki warga Indonesia, 28 wanita Indonesia dan dua masing-masing kanak-kanak Indonesia dan lelaki Myanmar," katanya.
Semua mereka yang ditahan berumur lingkungan setahun hingga 50 tahun itu akan disiasat di bawah Seksyen 51 (5)(6) Akta Imigresen 1963.
Beliau berkata, operasi itu juga bertujuan untuk mencegah serta mengekang kes jenayah yang membabitkan warga asing di sekitar Ampang Jaya.
"Setakat ini kejadian jenayah khususnya bagi daerah Ampang Jaya yang membabitkan golongan ini adalah terkawal. Bagaimanapun kita mahu mengambil langkah pencegahan awal agar kes-kes jenayah yang membabitkan warga asing tidak berleluasa yang akhirnya boleh mengganggu-gugat ketenteraman masyarakat tempatan.
"Kita akan meneruskan operasi seperti ini dari semasa ke semasa bagi membanteras habis-habisan kehadiran pendatang tanpa izin di sekitar daerah ini," katanya.
Operasi itu yang bermula pada 2 pagi dan berakhir dua jam kemudian, membabitkan seramai 296 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Imigresen, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Ampang.- Bernama
Saturday, March 20, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment