Monday, March 15, 2010

Lelaki ditemui mati ditetak

Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my
2010/03/15
Tangan mangsa hampir putus, serangan dipercayai bermotif dendam

KUALA SELANGOR: Seorang lelaki ditemui mati dengan keadaan tangan kanannya hampir putus selepas diserang dua lelaki di Jalan Timur Tambahan, Bestari Jaya, Kuala Selangor, kira-kira 70 kilometer dari sini petang semalam.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah berkata, mayat R Raj Kumar, 31, turut ditemui dengan tujuh kesan tetakan di bahagian kepala. Katanya, berdasarkan maklumat awam kejadian berlaku pada kira-kira jam 6.15 petang, ketika Raj Kumar sedang menunggang motosikal berseorangan beliau dikatakan diekori dua lelaki yang memandu sebuah kereta Proton Perdana hitam sejauh kira-kira dua kilometer.

Omar berkata, sebaik tiba di satu selekoh, kereta itu dikatakan memintas motosikal berkenaan, menyebabkan ia hilang kawalan sebelum melanggar sebuah tiang elektrik berhampiran.

“Sebaik terjatuh, mangsa berasal dari Kapar cuba melarikan diri tetapi dikejar suspek dan ditetak dengan senjata dipercayai parang, sebelum mangsa tersungkur kira-kira 150 meter dari motosikalnya, ” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, polis tidak menemui senjata yang digunakan tetapi percaya ia mungkin parang.
Omar berkata polis kemudian menemui kereta berkenaan yang dibakar di sebuah ladang kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian, dan siasatan awal mendapati kereta itu dilaporkan dicuri di Petaling Jaya pada 9 Mac lalu.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan dendam, dan sedang berusaha keras mengenal pasti dua suspek berkenaan.

Katanya, pemeriksaan awal terhadap kereta yang digunakan mendapati ia pernah dilaporkan dicuri di Petaling Jaya dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan

No comments:

Post a Comment