Wednesday, March 31, 2010

Pengurup wang kerugian RM100,000

KUALA LUMPUR 31 Mac - Seorang pengurup wang kerugian RM100,000 apabila pelbagai mata wang tempatan dan asing miliknya dilarikan perompak yang memecah masuk kedainya.

Kejadian itu dipercayai berlaku antara 12.30 tengah malam tadi dan 10 pagi ini di sebuah pasar raya di Jalan Ampang di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam kira-kira pukul 10 pagi.

"Kami mendapati sebuah peti besi yang mengandungi pelbagai mata wang dan pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik pemilik premis itu dilarikan oleh suspek.

"Kami percaya kejadian dilakukan lebih daripada seorang suspek yang memiliki kemahiran tinggi melakukan jenayah itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Jalil berkata, premis tersebut juga pernah dipecah masuk pada tahun lalu.

Tambahnya, premis berkenaan diperbuat dari papan dan memudahkan penjenayah itu memecah masuk setelah menebuk sebuah lubang di kedai alat telekomunikasi yang terletak di sebelahnya.

"Pengawal keselamatan pasar raya yang bertugas ketika itu, ada terdengar bunyi loceng dari premis berkenaan namun dia tidak mengambil apa-apa tindakan.

"Ini kerana dia mengesyaki ia berpunca daripada tikus kerana kejadian seperti itu pernah berlaku sebelum ini," ujarnya.

Abdul Jalil berkata, pihaknya akan menggunakan rakaman CCTV pasar raya terbabit untuk siasatan kes berkenaan.

Beliau turut menasihatkan, pemilik premis itu supaya menaik taraf sistem keselamatan di kedainya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

No comments:

Post a Comment