Friday, March 5, 2010

Eja trauma dakwa anak didera amah

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

KUALA LUMPUR, 6/3/10: Pelakon, Siti Shahrizah Saifuddin (atas), 38, yang popular dengan panggilan Eja, trauma kerana mendakwa anaknya yang berusia enam bulan didera pembantu rumahnya, selain kerugian hampir RM50,000 kerana wanita warga Indonesia itu merosakkan perabot dan kelengkapan rumahnya sebelum melarikan diri.

Pembantu rumah dikenali sebagai Mona atau nama panggilan, Susie, 29, dari Medan, Indonesia itu menghilangkan diri pada 18 Februari lalu.

"Sebelum ini, anak saya, Nur Eishal, saya dapati berdarah di bibir dan luka pada tangan ketika saya meninggalkannya di rumah bersama Susie," katanya.

Berikutan itu, Eja membuat dua laporan polis, pertama berhubung pembantu rumahnya yang melarikan diri di Balai Polis Mont Kiara, manakala laporan kedua di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Rabu lalu bagi melaporkan kerosakan harta bendanya.

Selain merosakkan harta benda dalam rumah, pembantu rumah pelakon drama 'Seputeh Qaseh Ramadan' selama tiga bulan dua minggu itu juga didakwa mencuri pakaian dan barangan peribadi milik artis berkenaan.

"Tidak kisah jika dia tidak mahu bekerja dengan saya, tetapi kenapa perlu merosakkan harta benda di kediaman baru kami.

"Saya dapat rasakan Susie mempunyai masalah jiwa, dari raut wajah, dia nampak seperti seorang yang berdendam dan tidak boleh melihat sesuatu di depan mata dengan sempurna.

"Saya tidak pernah memarahinya, jauh sekali mengasari atau menderanya. Jika menegur, saya lakukan dengan baik, tidak pernah saya meninggikan suara.

"Bagaimanapun, Susie tidak boleh ditegur, dia akan balas dengan melakukan kerosakan pada barangan rumah saya. Bayangkan daripada pintu bilik, tangga, lantai hinggalah kepada kelengkapan rumah, barangan elektrik dan periuk belanga, semuanya bertanda. Dia mungkin mencalar dan menetaknya dengan pisau dan senjata tajam.

"Mulanya, saya menganggap Susie seorang yang kasar ketika melakukan kerja rumah, jadi saya dan suami, Mohd Silahuddin Jamaluddin tidak mengendahkannya, tetapi selepas melarikan diri, dia meninggalkan kerosakan yang lebih besar.

"Saya pelik kerana mendapati muka dan badannya calar balar pada hari pertama bekerja di rumah saya, alasannya jatuh motosikal, tetapi sejak itu, saya mula tidak sedap hati," katanya.

Eja berkata, dia membuat laporan kedua kerana mahu Susie bertanggungjawab atas perbuatannya, selain bimbang keselamatan orang lain juga terancam jika mengambilnya bekerja.

"Saya percaya, wanita yang menipu identiti ini kerana dalam pasport namanya Mona, tetapi mahu dipanggil Susie, seorang yang bahaya," dakwanya.

No comments:

Post a Comment