KUALA LUMPUR 16 Mac 2010 - Dua wanita ini, G. Rasundri, 50, dan jirannya Darina Ibrahim, 43, bertungkus lumus setiap hari dengan mengambil upah menjahit pakaian bagi menyara keluarga mereka yang serba kekurangan.
Akur dengan jumlah pendapatan mereka yang tidak menentu setiap hari, dua wanita itu tidak pernah menolak sebarang bentuk jahitan yang ditempah oleh pelanggan.
Melihat keadaan mereka yang dihimpit kemiskinan dan terdesak untuk mencari nafkah, dua lelaki warga asing telah menawarkan kontrak jahitan pakaian sebagai umpan untuk menjadikan mereka sebagai 'keldai dadah'.
Suami Rasundri, Mahinder Singh, 49, berkata, memandangkan pakaian yang akan dijahit adalah berjenama, suspek-suspek terbabit isteri dan jirannya mendapatkan kain di Hong Kong.
Menurutnya, dia dan suami Darina, Jamalulhayat Vijayajeevan, 43, tidak menghalang isteri mereka untuk ke luar negara kerana ingin memberikan sokongan.
"Mereka bertolak ke Hong Kong pada 17 Mei tahun lalu dengan pembiayaan dua lelaki itu dan urusan tersebut dikatakan akan selesai dalam tempoh lima hari sahaja.
"Saya dan tiga anak serta Jamalulhayat menunggu kepulangan mereka sehingga dua minggu. Akhirnya kami mendapat panggilan dari Itali yang mengatakan mereka ditahan di penjara kerana memiliki dadah jenis candu,'' katanya pada sidang media di Pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata, maklumat yang diperolehnya mendapati Rasundri dan Darina dijadikan 'keldai dadah' oleh sindiket dadah antarabangsa.
Katanya, beliau turut merayu syarikat swasta tampil menyalurkan sumbangan bagi memastikan wanita-wanita terlibat dapat dilepaskan dari penganiayaan itu.
Tuesday, March 16, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment