Sunday, March 28, 2010

Polis buru pelakon didakwa belasah isteri

2010/03/29
AMPANG: Polis sedang memburu seorang pelakon drama dan filem kerana disyaki membelasah isterinya termasuk memukul badan wanita itu dengan batang penyapu di rumah mereka di Kampung Cheras Baru, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata pelakon berusia 41 itu juga didakwa menumbuk muka isterinya selain menendang perut dan punggung serta mencekik wanita berusia 28 tahun itu.

Beliau berkata, polis juga sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap pelakon terbabit yang turut dikehendaki atas tiga kes lain, berikutan usaha menjejakinya tidak berhasil selepas tidak pulang ke rumah sejak hari kejadian, dipercayai menyembunyikan diri. Katanya, kejadian berlaku selepas pasangan yang mempunyai tiga anak itu dikatakan bertengkar kerana isterinya yang juga penari kebudayaan, mengesyaki suaminya mempunyai hubungan sulit berdasarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam telefon bimbitnya.

“Akibat perselisihan faham itu, suspek yang marah kemudian bertindak memukul dan membelasah isterinya termasuk menggunakan batang penyapu.

“Berikutan kejadian itu, mangsa yang cedera ringan dan lebam di seluruh badan, dirawat di Hospital Ampang sebelum membuat laporan polis pada hari sama.

“Sehubungan itu, kita meminta pelakon lelaki terbabit tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada seorang anggota polis yang terlantar akibat kemalangan jalan raya hampir setahun lalu, di sini, semalam.

Abdul Jalil berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda atau sebatan.

Beliau berkata, pelakon yang pernah membintangi beberapa drama dan filem seperti Azizah The Legend dan Harry Boy itu, sebelum ini dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung dua kes mengikut seksyen sama dan satu lagi mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Kita sebelum ini memang mencarinya bagi membantu siasatan berhubung tiga laporan polis tetapi dia masih gagal dikesan. Diharapkan dengan pendedahan ini dia dapat tampil di mana-mana balai polis dengan segera,” katanya.

No comments:

Post a Comment