Monday, March 29, 2010

Dua beradik, kekasih curi getah skrap

2010/03/30
ALOR SETAR: Polis menahan dua beradik lelaki dan teman wanita seorang daripada mereka kerana didapati terbabit dalam kes kecurian getah skrap di ladang getah sekitar kawasan Jeniang, Sik, dekat sini, semalam.

Kegiatan mereka yang berusia lingkungan 20-an dihidu seorang peraih getah, Maznah Mat Aziz, 57, apabila mendapati remaja berkenaan sering menggunakan kereta bernombor pendaftaran berlainan setiap kali ke kedainya di Kampung Kuala Tekai, Padang Terap untuk menjual getah skrap, 60 kilometer dari tempat ia dicuri.

Malah sebahagian daripada getah skrap yang dijual juga adalah milik Maznah yang dicuri suspek dari kedai getah berkenaan. Jurucakap Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Padang Terap ketika dihubungi berkata, apabila menyedari perkara itu kira-kira jam 8.30 pagi semalam, Maznah meminta pekerjanya mengawasi suspek sebelum bertindak menghubungi polis.

"Seorang daripada lelaki itu cuba lari ke kawasan semak berhampiran namun berjaya diberkas pekerja Maznah.

"Mereka kemudian diawasi beberapa penduduk kampung sementara menunggu kehadiran polis.

"Berdasarkan maklumat awal yang kami terima, penduduk memberitahu, suspek mengaku aktif mencuri getah skrap di kawasan ladang sekitar Jeniang sebelum menjualnya kepada peraih di situ," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Polis turut merampas lima guni getah skrap bernilai hampir RM500 daripada kumpulan berkenaan.

Kegiatan mencuri getah skrap di beberapa kawasan di negeri ini kembali aktif berikutan harga komoditi itu yang mencecah RM4.80 sekilogram sekarang.
Beliau berkata, kes masih dalam siasatan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil memberi keterangan.

No comments:

Post a Comment