Wednesday, March 3, 2010

Wanita Uzbekistan ditahan

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Mac 2010 - Seorang pekerja salon kecantikan warga Uzbekistan ditahan kerana memiliki kira-kira 2.3 kilogram dadah disyaki heroin bernilai RM228,000 dalam serbuan di Jalan Bukit Bintang di sini Sabtu lalu.

Dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah hari itu, suspek yang merupakan ibu tunggal berusia 27 tahun dipercayai turut menjadikan salon tersebut sebagai pusat penyimpanan dan pengedaran dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, hasil pemeriksaan, kesemua dadah dalam bentuk serbuk dan ketulan itu ditemui di bilik salon terbabit.

Katanya, kesemua dadah tersebut dipercayai mampu menghasilkan sebanyak 22,800 straw heroin.

"Siasatan awal mendapati suspek bekerja di salon kecantikan terbabit sejak lima bulan lalu berdasar rekod kemasukan ke negara ini pada 24 November lalu.

"Ini kali kedua dia memasuki Malaysia selepas September lalu dan keluar semula sebulan selepas itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Katanya, pada kemasukan kali kedua ini yang dikenal pasti dari negara Thailand, suspek didapati telah melanggar Akta Imigresen kerana tinggal melebihi masa.

Katanya lagi, suspek juga dalam perhatian Imigresen untuk diusir pada 16 Februari lalu.

Chez Chiang memberitahu, modus operandi digunakan adalah mengedar dadah kepada pelanggan dari negara Asia Barat yang dikenalinya ketika memasuki negara ini kali pertama.

"Polis masih menyiasat pengedaran serta dari mana dia memperoleh bekalan dadah itu selain kemungkinan penglibatan rakyat tempatan dalam kegiatan tersebut.

"Ketika serbuan, suspek bersendirian di premisnya dan polis kini sedang mengesan pemilik salon kecantikan itu yang juga berasal dari negara Asia Barat untuk membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, beliau kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa Uzbekistan untuk mendapatkan rekod jenayah lampau suspek.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula pada 28 Februari hingga 6 Mac ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan," katanya.

No comments:

Post a Comment