Wednesday, March 3, 2010

Kakitangan Jabatan Ukur maut ditetak

KOTA BHARU 2 Mac 2010 - Seorang kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Kelantan yang parah ditetak ketika berbalah mengenai kedudukan harta pusaka pada Jumaat lalu, meninggal dunia malam tadi.

Mohd. Din Awang Hamat, 52, yang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sejak kejadian itu, meninggal dunia pukul 10.30 malam akibat kecederaan teruk di kepala.

Isteri mangsa, Natipah Mamat, 50, berkata, kejadian berlaku pukul 9.30 pagi Jumaat lalu ketika suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah dari sawah padi mereka di Jalan Kampung Raja, Padang Salim di Melor dekat sini.

"Suami saya diserang dua lelaki bersenjata ketika menunggang motosikal untuk pulang selepas meracun di sawah padi.

"Saya hanya menyedari kejadian itu selepas diberitahu oleh jiran. Sampai saja di tempat kejadian, saya lihat suami sudah tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Supritendan Idris Abd. Rafar berkata, siasatan awal pihak polis mendapati, motif serangan itu berpunca daripada perebutan harta pusaka.

Selepas kejadian itu, kata beliau, adik mangsa membuat laporan di Balai Polis Melor. Polis kemudian menahan dua lelaki yang juga anak saudara mangsa bagi membantu siasatan.

Kedua-dua suspek, kata Idris, berusia 28 dan 30 tahun.

No comments:

Post a Comment