Wednesday, May 26, 2010

Wanita leka rebus ketum ditahan

TELUK INTAN 26 Mei 2010 - Seorang ibu tunggal berusia 51 tahun yang sedang leka memasak air rebusan daun ketum di dapur rumahnya antara tujuh yang ditahan polis dalam serbuan di Kampung Parit 4, Chenderong Balai dekat sini semalam.

Turut ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang itu ialah enam lelaki yang disyaki penagih air ketum.

Kesemua lelaki terbabit berusia antara 30 hingga lingkungan 40-an.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejayaan tersebut hasil intipan yang dilakukan Cawangan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Teluk Intan selama dua minggu dan setelah menerima maklumat awam.

"Dalam serbuan itu, polis menemui satu guni berisi daun-daun ketum dianggarkan seberat 11 kilogram selain selonggok daun ketum di atas lantai di bilik mandi yang beratnya kira-kira 4 kilogram.

"Turut ditemui, 40 plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum yang telah diproses seberat 18 liter yang diletakkan dalam bilik mandi di rumah tersebut," katanya di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment