Thursday, May 6, 2010

Polis tumpas kumpulan curi kereta di Ulu Tiram

2010/05/06
JOHOR BAHRU: Polis percaya berjaya menumpaskan kumpulan mencuri kereta selepas menahan enam lelaki termasuk tiga warga asing di Ulu Tiram di sini, hujung bulan lalu dan semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata semua mereka ditahan selepas polis membuat serbuan di sebuah pusat servis, kimpalan dan mengecat kereta, di Lot 1059, batu 13, Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, 28 April lalu. "Bertindak atas maklumat, polis menahan pemilik premis itu yang berumur 38 tahun serta empat pekerjanya, seorang lelaki tempatan dan tiga rakyat asing berumur antara 30 dan 50 tahun," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini. Mohd Mokhtar berkata, polis yang menjalankan pemeriksaan di premis itu menemui lapan kereta pelbagai jenis yang dicuri dianggarkan bernilai RM1 juta.

Beliau berkata, beberapa komponen Proton Gen 2 turut dijumpai di stor itu dan pemeriksaan mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Taman Johor Jaya, di sini.

Katanya, selepas penahanan awal, polis kemudian menahan seorang lagi lelaki berumur 35 tahun, kira-kira 6 petang semalam yang dipercayai turut terbabit dalam kumpulan mencuri kereta tersebut.

Keenam-enam lelaki yang tidak mempunyai rekod jenayah itu kini direman untuk membantu siasatan.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata polis menahan seorang lelaki berumur 22 tahun yang dipercayai menyamar sebagai anggota penguatkuasa di Jalan Susur 3, Larkin Perdana, di sini, pagi semalam.

Beliau berkata, anggota polis dari Balai Larkin, di sini, yang sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah menahan lelaki itu yang sedang menunggang sebuah motosikal pada kira-kira 3.30 pagi.

"Polis menemui satu pisau Rambo di pinggang lelaki berkenaan selain satu pisau lipat, pedang buatan sendiri, sepucuk pistol tiruan, baret berlogo Kastam Diraja Malaysia dan baret berlogo Polis Diraja Malaysia," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment