Jenayah dadah meningkat di Samarahan
KUCHING 19 Mei - Bahagian Samarahan mencatatkan peningkatan kesalahan jenayah berhubung penyalahgunaan dadah dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini berbanding hanya tujuh kes pada 2008.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, sejak Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 54 kes dadah dilaporkan berbanding 18 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat bukti kukuh yang menunjukkan trend penahanan berhubung kes-kes dadah di Samarahan telah meningkat.
''Rekod membuktikan dari Januari hingga Mac 2008, hanya tujuh kes dicatatkan namun meningkat kepada 18 kes pada tahun lalu dan terus bertambah sebanyak 54 kes tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud (BN-Muara Tuang) pada hari ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-16 di sini hari ini.
George yang juga Menteri Pelancongan dan Warisan berkata, peningkatan tersebut membimbangkan ramai pihak pada masa ini memandangkan ia melibatkan generasi pelapis negara.
Katanya, menyedari perkara itu serius, kerajaan negeri telah memberi penekanan yang begitu besar kepada agensi-agensi berkaitan seperti PDRM, Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) dan sebagainya untuk sama-sama mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu terbabit.
Tambahnya, antara strategi yang diambil adalah meningkatkan kesedaran awam mengenai penyalahgunaan dadah selain kerap mengadakan serbuan atau operasi bersama agensi bertanggungjawab.
''Selain itu, pihaknya turut mengadakan kempen, ceramah dan forum awam bagi mendorong para remaja supaya mengatakan "Tidak" kepada dadah.
''Bagaimanapun, usaha agensi-agensi ini tidak akan menjadi efisien tanpa komitmen semua pihak, maka seharusnya ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak supaya menjauhi aktiviti berkaitan dadah,'' katanya.
George menambah, kerajaan juga mempunyai rancangan untuk menambah bilangan polis di bahagian Samarahan sebagai menyokong kekurangan yang ada kini.
Wednesday, May 19, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment