Sunday, May 23, 2010

Suspek larikan diri, pandu kereta polis dengan tangan bergari

KOTA BHARU 23 Mei 2010 - Tindakan tiga anggota polis membawa seorang tahanan ke Pasir Tumboh di sini untuk siasatan kes kecurian kenderaan hari ini bertukar menjadi operasi memburunya.

Lelaki yang awalnya ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berjaya meloloskan diri menggunakan kereta Proton Waja yang digunakan pihak berkuasa itu ketika dia ditinggalkan bersendirian dalam kenderaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang ini, Mohd. Zaidi Majid, 33, yang digari ketika dibawa ke kawasan berkenaan memandu hampir 40 kilometer sehingga ke Pulai Chondong, Machang sebelum meninggalkan kenderaan di situ.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, suspek bagaimanapun masih belum berjaya dikesan dan dipercayai masih bersembunyi di kawasan berhampiran.

"Suspek ditahan di lokap IPD Kota Bharu dan dibawa ke Pasir Tumboh oleh pegawai penyiasat bagi tujuan pengecaman tempat kejadian.

"Bagaimanapun, dia berjaya melepaskan diri dan membawa lari kenderaan itu walaupun tangannya telah digari," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas beliau, suspek yang berasal dari Kampung Pangkal Kalong, Kok Lanas sebelum ini ditahan mengikut seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana disyaki terlibat dengan kes kecurian kenderaan bermotor di negeri ini.

Mengulas mengenai insiden itu, beliau berkata, ketika kejadian, dua daripada anggota polis berkenaan pergi ke sebuah bangunan berhampiran untuk menjalankan siasatan manakala seorang lagi mengawal suspek.

Bagaimanapun ujarnya, anggota polis yang mengawal suspek berkenaan berada di luar kenderaan dan ketika itulah suspek mengambil kesempatan untuk memandu bagi melarikan diri.

Ekoran itu katanya, polis membuka dua lagi kertas siasatan iaitu terhadap suspek dan anggota polis berkenaan.

"Kita buka kertas siasatan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan terhadap suspek kerana melarikan diri daripada tahanan yang sah.

"Sementara itu, anggota polis terbabit juga disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana cuai menyebabkan individu yang ditahan berjaya melarikan diri daripada tahanan yang sah," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, polis tidak akan menuding kesilapan secara terburu-buru kepada anggota terbabit sehingga siasatan selesai.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut diminta melaporkan segera di balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kota Bharu di talian 09-7485522.

No comments:

Post a Comment