Oleh Mohamad Danial Mohamad Saad
2010/05/21
Wanita baru lima hari lahir anak kedua cemas tiga lelaki pecah masuk rumah
NIBONG TEBAL: Seorang wanita yang baru lima hari melahirkan anak keduanya, menempuh saat-saat mencemaskan apabila dirompak tiga lelaki bersenjatakan parang di rumahnya di Taman Sintar Indah, Jawi, di sini, kelmarin.
Jamie Thian, 32, yang berada dalam bilik bersama anak perempuan sulungnya berusia tujuh tahun dan bayi lelakinya, tidak mampu berbuat apa-apa apabila tiga perompak memecah masuk rumahnya kira-kira jam 4 petang. Wanita itu hanya mampu melihat perompak berkenaan menggeledah biliknya dan bilik ahli keluarganya sebelum melarikan wang tunai, barang kemas dan jam tangan jenama Rolex yang kesemuanya bernilai kira-kira RM126,000. Mangsa ketika ditemui di rumahnya, berkata seorang lelaki bertopeng memasuki biliknya melalui bilik air yang bersambung dengan bilik bersebelahan biliknya ketika beliau sedang berehat dengan anaknya.
Sebaik memasuki biliknya, lelaki berkenaan mengarahkannya supaya jangan bising dan menyerahkan barangan berharga.
"Perompak itu yang memegang parang mengarahkan saya jangan menjerit dan menyerahkan barang kemas. Dia juga mengugut mencederakan saya dan anak jika tidak menyerahkan barang kemas.
"Saya memberitahu tidak mempunyai wang kerana baru melahirkan anak," katanya sambil menambah dua lagi lelaki muncul termasuk seorang yang bertopeng.
Selepas itu, perompak berkenaan mengarahkan Jamie menunjukkan bilik lain di tingkat atas rumah dua tingkat itu. Perompak berkenaan menggeledah semua bilik dan mengisi barang kemas dan wang tunai dalam sarung bantal.
Perompak berkenaan yang tidak mencederakan tiga beranak itu, melarikan diri dengan sebuah Proton Perdana.
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.
Friday, May 21, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment