Sunday, May 23, 2010

Sindiket wang palsu tumpas

Oleh Norakmah Mat Youb
norakmah@bharian.com.my
2010/05/24


PERALATAN mencetak ditemui dalam serbuan di sebuah rumah yang menjadi pusat sindiket mencetak wang palsu di Bukit Mertajam, semalam.4 termasuk sepasang suami isteri jual not tiruan pada harga murah ditahan

GEORGETOWN: Polis menumpaskan sindiket mencetak dan mengedar wang palsu selepas menahan empat orang, termasuk sepasang suami isteri dalam serbuan di dua premis di Bukit Mertajam, Jumaat lalu.

Dalam serbuan di antara jam 9 pagi dan 12 tengah malam di Jalan Kulim dan Taman Bidara, Machang Bubuk, polis turut merampas sebanyak 432 keping wang palsu membabitkan mata wang pelbagai negara. Wang palsu yang dirampas ialah 409 keping USD100, Rupiah (Rp) 5,000 (dua), Rp1,000 (lima), Rp10,000 (satu), Rp50,000 (10), Rp100,000 (tiga) dan masing-masing sekeping S2 dan S5. Turut dirampas pelbagai peralatan untuk mencetak wang palsu termasuk mesin pencetak, pengimbas, komputer riba, kertas putih bersaiz A4 dan telefon bimbit.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub, berkata sindiket terbabit yang beroperasi sejak setahun lalu, dipercayai menggunakan wang palsu apabila berbelanja di pasar malam dan stesen minyak.

Katanya, sindiket terbabit juga dipercayai menjual mata wang asing palsu pada harga lebih rendah daripada harga pasaran, selain menukarkannya di premis penggurup wang di negeri ini.

"Hasil pemantauan selama dua minggu, kami menyerbu premis itu dan menahan tiga lelaki serta seorang wanita warga Indonesia kerana terbabit dalam kegiatan mencetak wang palsu," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik.

Ayub berkata, siasatan mendapati suspek yang berusia antara 35 hingga 45 tahun itu tiada mempunyai rekod jenayah dan dipercayai baru berjinak-jinak dalam kegiatan itu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 489 (D) Kanun Keseksaan kerana memiliki plat pencetak palsu yang boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Ayub menasihati orang ramai supaya tidak membeli wang palsu kerana ia adalah kesalahan yang serius.

No comments:

Post a Comment