ALOR SETAR 9 Mei 2010 - Cubaan empat lelaki untuk melarikan sebuah mesin pengeluar automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Kelang Lama dekat Kulim, awal hari ini gagal selepas ia disedari oleh sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah.
Malah, polis bertindak pantas dan berjaya menahan kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 25 tahun dalam tempoh 15 minit selepas mereka cuba melarikan diri.
Dalam cubaan itu, kumpulan penjenayah terbabit menggunakan sebuah lori muatan satu tan untuk menarik keluar mesin ATM setelah diikat dengan rantai besi.
Ketua Polis negeri, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.15 pagi apabila dua lelaki bertopeng memasuki premis bank yang mempunyai mesin ATM.
"Mereka dipercayai mengikat mesin tersebut dengan rantai besi dan cuba menariknya dengan sebuah lori.
"Bagaimanapun, bunyi bising akibat perbuatan itu telah didengari lima anggota polis termasuk seorang pegawai yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah tidak jauh dari situ.
"Sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, kesemua penjenayah itu cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan polis itu kemudian meminta bantuan sebuah kereta peronda yang akhirnya berjaya menahan kereta dinaiki kumpulan penjenayah tersebut di Jalan Sungai Limau menuju ke Lunas.
Syed Ismail berkata, siasatan awal mendapati, lori itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat di Bukit Kiara, Kuala Lumpur tempat bapa remaja berusia 19 tahun itu bekerja.
Kata beliau, polis percaya remaja itu menggunakan lori kepunyaan syarikat tempat bapanya bekerja untuk melakukan jenayah tersebut.
Menurutnya, suspek berusia 24 tahun pula baru dibebaskan dari Penjara Pulau Pinang kerana kes rogol minggu lalu.
"Seorang lagi suspek yang berusia 24 tahun tidak bekerja manakala rakannya yang berusia 25 tahun bekerja dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)," katanya.
Syed Ismail memberitahu, berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) bank itu terdapat rakaman pergerakan dua lelaki bertopeng memasuki bank berkenaan.
Katanya, ketika kejadian, tiada pengawal keselamatan bertugas di bank itu kerana mereka bertugas sehingga pukul 7 malam.
Sunday, May 9, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment