Sunday, May 2, 2010

Kapten bot rasuah didenda RM10,000

JOHOR BAHRU 30 April 2010 - Akibat menawarkan rasuah RM400 kepada seorang pegawai penguat kuasa maritim, seorang kapten bot tunda hari ini dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Lui Yaw Min, 49, dari Sarawak turut diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Hakim Aliman Musri menjatuhkan hukuman tersebut selepas lelaki itu mengaku bersalah cuba merasuah Abdul Lateb Romli di Pelabuhan Pasir Gudang pada pukul 10.45 malam, 22 April lalu.
Dia didakwa menawarkan suapan itu sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap empat awak-awak yang ditahan kerana berjudi di atas botnya.

Yaw Min didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorfazlin Hamdan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Tertuduh membayar denda tersebut.

No comments:

Post a Comment