Friday, May 7, 2010

Polis Perak tahan 10 GRO asing di kedai makan dalam kebun getah

2010/05/07
IPOH: Polis menahan 10 pelayan (GRO) warga China dalam serbuan di sebuah kedai makan yang terletak di kawasan kebun getah di Pekan Gurney, Manjung, kira-kira 80 kilometer dari sini, petang semalam.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Perak, SAC Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim, berkata serbuan itu dilakukan berikutan aduan daripada isteri dan anggota keluarga mengenai suami dan bapa mereka menjadikan GRO warga asing sebagai teman sehingga mengabaikan tanggungjawab.

Sambil menggesa masyarakat supaya terus memberikan maklumat mengenai kegiatan tidak bermoral yang mencetuskan penyakit sosial serta menjejaskan institusi kekeluargaan, beliau berkata 10 GRO itu yang ditahan dalam serbuan kira-kira 6.30 petang itu berusia antara 32 dan 44 tahun. "Selepas menerima maklumat tentang kegiatan maksiat di kawasan itu, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah membuat intipan ke atas premis yang terletak satu kilometer dari jalan besar itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Seramai 16 pelanggan turut diperiksa dalam serbuan itu.

Sementara itu, di PARIT, seorang lelaki warga Indonesia dijumpai mati selepas dipercayai dibunuh di sebuah rumah sewa di Batu 27, Jalan Tronoh-Bota malam tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Muhammad Fakri Che Sulaiman, berkata mangsa yang dikenali sebagai Rofik Rahman, 23, berasal dari Kepulauan Madura cedera parah di bahagian muka kiri dan lengan kiri akibat dipercayai ditetak dengan parang.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan itu dijumpai berlumuran darah di dalam stor bawah rumah sewa berkenaan.

"Mangsa disyaki diserang lebih daripada seorang berdasarkan kesan pergelutan dan petunjuk yang ditemui di tempat kejadian. Kita menerima maklumat daripada rakan cop yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kira-kira jam 9.30 malam dan kita percaya mangsa meninggal dunia antara pukul 4 petang dan 7 malam tadi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di sini hari ini.

Muhammad Fakri berkata, sepasukan unit forensik polis turut menemui beberapa senjata di kawasan kejadian. - Bernama

No comments:

Post a Comment