Thursday, May 6, 2010

Pekerja minta cuti dipukul

2010/05/07
KUANTAN: Hanya kerana ingin bercuti dan pulang ke kampung, seorang pekerja restoran di Jalan Beserah, di sini, luka di kepala apabila dipukul majikannya menggunakan ulu parang, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, mangsa berusia 21 tahun dari Pattani, Thailand cedera dan terpaksa mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini. Sebelum kejadian, suspek dimaklumkan isterinya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan mahu menutup restoran seminggu kerana pekerja terbabit mahu pulang ke kampung. Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata suspek berusia 44 tahun itu yang berang pergi ke restorannya dan berjumpa semua pekerja.

Katanya, lelaki itu tiba-tiba mengamuk dan mengambil parang sebelum mengugut untuk menghalau semua pekerja.

“Suspek menyerang seorang pekerjanya dan memukul kepala mangsa dengan hulu parang,” katanya di sini, semalam.

Zulkifli berkata, polis yang dihubungi isteri suspek menahan lelaki itu bagi membantu siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, lelaki terbabit dikatakan sering bertengkar dengan isterinya hanya kerana perselisihan faham mengenai perniagaan mereka.

“Lelaki terbabit kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, katanya

No comments:

Post a Comment