IPOH 6 Mei - Seorang pemuda yang tinggal di sebuah rumah anak yatim di Tambun dekat sini, ditahan kerana dipercayai menyamar sebagai pegawai polis berikutan penemuan beberapa senjata tiruan termasuk pistol serta barangan penting kegunaan pasukan keselamatan itu.
Polis percaya, senjata dan barangan tersebut digunakan oleh pemuda berusia 27 tahun itu untuk menjalankan aktiviti penyamaran.
Antara senjata ditemui dalam serbuan pukul 3 petang semalam ialah tiga pistol tiruan menyerupai pistol sebenar, sebilah pisau dan 10 pasang gari dipercayai dibeli dari negara jiran.
Barangan lain adalah pas palsu Ketua Cawangan Khas Perak dan pelawat Cawangan Khas, cop polis Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berpangkat Supritendan serta jaket polis tertera pangkat Cif Inspektor.
Turut ditemui, jaket tertulis perkataan 'Polis', dua walkie-talkie, 10 pasport milik warga Myanmar dan Nepal yang sudah tamat tempoh, sebuah komputer dan sebuah kereta Proton Gen-2.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, serbuan dibuat selepas pihaknya menerima maklumat bahawa suspek memiliki barangan larangan tersebut.
"Kesemua barangan itu ditemui dalam bilik dan kereta. Pistol tiruan ditemui dalam satu laci bilik di dalam rumah jagaan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Azisman, siasatan awal mendapati, suspek mempunyai empat kesalahan sebelum ini membabitkan tiga kes tipu dan satu kes curi.
"Dia juga mempunyai tiga rekod sebagai orang dikehendaki polis pada sekitar tahun 2005 dan 2006," katanya.
Azisman berkata, siasatan dibuat berdasarkan kesalahan memiliki senjata mengikut Seksyen 32(2) Akta Senjata 1960.
Siasatan juga dilakukan untuk mengesan bagaimana suspek boleh tinggal di rumah anak yatim itu sejak sebulan lalu.
Thursday, May 6, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment