Monday, May 10, 2010

Sentral: Medan selera 'maksiat'

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@bharian.com.my
2010/05/11

BELAKANG medan selera yang sunyi dijadikan tempat remaja untuk melampiaskan nafsu.Sekumpulan remaja dikesan memadu kasih di belakang bangunan

RAWANG: Segelintir remaja bawah umur dikesan menjadikan kawasan Medan Selera Bandar Sungai Buaya dekat sini sebagai tempat memadu kasih bersama pasangan masing-masing setiap hujung minggu. Selain berpelukan, mereka juga sering berkucupan tanpa berasa malu di belakang bangunan gerai terbabit walaupun pada siang. Ada juga antara mereka melakukan perkara lebih teruk daripada itu berdasarkan kondom dan seluar dalam wanita ditemui di gerai kosong di Medan Selera terbabit.

Dalam kejadian terbaru, kelmarin beberapa penduduk taman perumahan berhampiran dan seorang anggota polis dari Balai Polis Bukit Sentosa menahan tiga remaja lelaki berusia 15 tahun dan dua remaja perempuan berusia 14 tahun sedang memadu kasih di belakang gerai terbabit.

Ketika ditahan, seorang daripada remaja lelaki terbabit berpelukan dengan seorang remaja perempuan. Mereka juga dilihat bercium.

Kumpulan remaja terbabit yang belajar di sebuah sekolah menengah di sini, turut merokok.
Penduduk taman perumahan itu dan anggota polis terbabit kemudian menasihati lima remaja terbabit supaya tidak mengulangi perbuatan itu sebelum memanggil ibu bapa mereka untuk dibawa pulang.

Pengusaha gerai makanan, Abdul Ali Mustaffa, 49, berkata kejadian membabitkan lima remaja termasuk dua perempuan dari Bandar Tasik Puteri itu adalah kes terbaru dikesan di medan selera berkenaan.

Beliau berkata, gerai yang terbiar sejak beberapa tahun lalu dan dibuka semula pada 1 Ogos tahun lalu, masih menjadi tumpuan remaja belasan tahun memadu kasih dan melakukan kegiatan maksiat.

"Ia kerana hanya 15 daripada 23 gerai yang beroperasi pada waktu malam, manakala yang lain masih kosong.

“Oleh itu, saya memohon kepada pelbagai pihak termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) supaya kerap membuat serbuan dan pemantauan di kawasan ini," katanya kepada Sentral semalam.

Beliau berkata, penduduk juga sering terserempak dengan beberapa pasangan dewasa melakukan kegiatan tidak bermoral dalam kenderaan masing-masing di kawasan sunyi berhampiran tempat letak kereta medan selera berkenaan,” katanya.

Ketua Umno cawangan Melursari, Hairudin Majusi, 46, berkata beberapa langkah sudah diambil penduduk taman perumahan terbabit termasuk mengadakan rondaan malam bagi mencegah kegiatan sumbang dilakukan remaja terbabit.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama ibu bapa supaya membantu mengawal tingkah laku anak dan mengambil tahu setiap aktiviti dilakukan.

"Kami akan bertindak tegas dengan kerjasama beberapa agensi berwajib menangani masalah sosial di sini,” katanya

No comments:

Post a Comment