KUALA LUMPUR 30 April 2010 - Baru sehari bertugas menggantikan rakannya, seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah sudah berkelakuan keji dengan mencabul seorang murid perempuan tahun satu di sekolah tersebut.
Tindakan tidak bermoral lelaki berusia 64 tahun itu menyebabkannya dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini.
Majistret Rini Triany Muhammad Ali menjatuhkan hukuman tersebut ke atas R. Perumal selepas lelaki itu mengaku bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil.
Beliau yang menyifatkan perbuatan tertuduh tidak boleh dimaafkan turut berharap hukuman itu boleh menginsafkan tertuduh serta memberi pengajaran kepada masyarakat umum.
Bapa kepada tiga anak itu bagaimanapun terlepas hukuman sebat yang diperuntukkan bagi kesalahan itu memandangkan usianya yang sudah lanjut.
Perumal mengaku menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu di tandas perempuan sebuah sekolah rendah kebangsaan di Batu Arang di sini antara pukul 5 dan 5.15 petang, 21 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada hukuman itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Hamzah dan dibantu pegawai pendakwa, Asisten Supritendan Koh Teck Chew.
Terdahulu, Rohaiza memohon agar hukuman berat dikenakan atas alasan kesalahan serius yang dilakukan oleh tertuduh yang sepatutnya dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan murid-murid di situ.
Teck Chew pula memohon mahkamah mengambil kira stigma dan trauma yang ditanggung oleh mangsa berdasarkan cara kesalahan itu dilakukan.
Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu agar tidak dikenakan hukuman penjara dengan alasan dia berpenyakit kencing manis, darah tinggi dan sebelah kakinya sering sakit.
Menurut fakta kes, mangsa telah ke tandas untuk membuang air kecil dan secara kebetulan telah bertemu dengan tertuduh.
Kejadian cabul itu diceritakan mangsa kepada ibunya yang kemudian membuat laporan polis pada malam hari kejadian. Tertuduh berjaya ditangkap tiga hari kemudiannya
Sunday, May 2, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment