Sunday, May 2, 2010

Jurugambar jumpa mayat terapung

2010/05/03
SHAH ALAM: Seorang jurugambar amatur yang sedang bersiar-siar di tepi Tasik Setia Wawasan, Setia Alam, dekat sini, bersama-sama isteri dan anaknya tengah hari semalam, terkejut apabila mengetahui satu objek yang dilihat terapung di permukaan tasik itu, sebenarnya mayat seorang lelaki.

Mayat lelaki yang dipercayai warga asing itu terapung dengan kedua-dua tangannya diikat dengan tuala dan pita pelekat di belakang badannya manakala mulut dan matanya juga turut diikat dengan tuala serta pita pelekat. Difahamkan, tubuh mangsa juga diikat ke batu besar menggunakan tali nylon hijau.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin, berkata jurugambar amatur itu membuat laporan kira-kira jam 12.50 tengah hari dan kemudian sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa mungkin dibunuh dan dicampakkan ke dalam tasik itu sejak dua hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah busuk.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua tangan mangsa diikat ke belakang manakala kakinya diikat bersama sebuah batu besar dipercayai bagi memastikan tubuh mangsa tidak terapung.

“Kita bagaimanapun masih belum dapat mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Noor Azam berkata, keadaan mayat mangsa yang sudah reput dan hitam menyukarkan polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa.

Ketika ditemui, mangsa lengkap berpakaian iaitu baju T warna kuning dan seluar jean biru tetapi tidak memakai kasut manakala tanda pelalian tidak ditemui di bahunya.

Pemeriksaan terhadap mangsa juga tidak menemui sebarang kecederaan fizikal dan mayat berkenaan sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan

No comments:

Post a Comment