HULU SELANGOR 6 Mei 2010 - Akibat 'naik angin' apabila menerima surat daripada isterinya yang minta diceraikan, seorang peniaga pasar malam hari ini didakwa atas tuduhan memukul isterinya dengan menggunakan tukul besi dan topi keledar.
Zulkifli Ahmad, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini.
Zulkifli yang berasal dari Batu 6, Gombak didakwa mendatangkan kecederaan ke atas Jema'ah Ishak, 34, menggunakan topi keledar dan tukul besi di No. 95, Jalan Kasturi 4C, Bukit Beruntung di sini pada pukul 12.30 tengah malam, 1 Mei lalu.
Lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noorjidah Mohd. Jusan yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Anak perempuan tertuduh yang kelihatan cedera di kaki dan bertongkat yang hadir sebagai penjamin bapanya memohon agar jumlah tersebut dikurangkan kepada RM1,000.
Majistret Zuraidah Zakaria membenarkan Zulkifli diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh 17 Jun ini ditetapkan untuk sebutan semula bagi memberi peluang kepada tertuduh melantik peguam bela.
Menurut laporan akhbar hari ini, mangsa yang bekerja di gudang Tesco Bukit Beruntung di sini mengalami cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.
Tertuduh dipercayai bertindak demikian akibat cemburu apabila mengesyaki isterinya meminta cerai kerana menjalin hubungan dengan lelaki lain.
Thursday, May 6, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment