Sunday, May 16, 2010

YB Kapar terima nota ugutan bunuh

2010/05/17
sebelum - selepas


MANIKAVASAGAM menunjukkan keretanya yang disimbah cat depan rumahnya di Jalam Jelutong, Meru, Klang.KLANG: Ahli Parlimen Kapar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), S Manikavasagam menerima nota ugutan bunuh manakala dua kenderaannya yang diletakkan depan rumahnya di Meru di sini, disimbah dengan cat merah, awal pagi semalam.

Kejadian disedari wakil rakyat itu kira-kira jam 7.30 pagi, ketika turun ke ruang tamu untuk menonton televisyen. Manikavasagam berkata, nota ugutan bunuh bertulis ‘Jangan campur isu pasir, u mati’ itu ditemui terikat pada plastik yang terjatuh depan pintu rumahnya. Katanya, beliau menyedari kejadian itu selepas ternampak ada tompokan merah pada keretanya.

Dua lagi plastik berisi cat itu mengenai bahagian belakang dua kenderaan milik wakil rakyat itu, sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Estima kelabu gelap dan sebuah kereta Proton Perdana warna putih yang diletakkan di pekarangan rumahnya di pekan Meru, di sini.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan seseorang antara jam 4 hingga 5 pagi ketika beliau dan keluarganya sedang tidur.

Pihak terbabit dipercayai tidak berpuas hati dengan dakwaan Manikavasagam sebelum ini mengenai isu rasuah membabitkan tiga pegawai kanan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).
“Saya masih terkejut tetapi tidak akan berganjak daripada pendirian saya membabitkan dakwaan itu.

“Saya masih tidak akan meminta maaf dan tarik balik apa yang saya katakan mengenai isu ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Manikavasagam berkata, polis yang dihubungi datang ke rumahnya untuk menjalankan siasatan pada jam 7.45 pagi.

Katanya, beliau percaya perbuatan itu dilakukan orang luar dan bukan penduduk tempatan.

Jumaat lalu, Manikavasagam membuat laporan polis terhadap tiga ugutan bunuh yang diterimanya melalui panggilan telefon bimbitnya dipercayai mempunyai kaitan isu sama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah, berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah dan perbuatan khianat.

Katanya, kejadian berlaku pada awal pagi dan cat berkenaan diisi dalam beg plastik merah dengan nota diikat dengan getah kepada satu daripada beg plastik itu.

“Suspek mungkin menaiki motosikal ketika melakukan perbuatan itu dan nota itu ditulis dengan menggunakan pen ‘marker’ biru di atas kertas berwarna merah,” katanya.

Ditanya mengenai laporan polis membabitkan tiga ugutan yang diterima Manikavasagam minggu lalu, Omar berkata, kes itu masih disiasat.

Rabu minggu lalu, Manikavasagam, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang selepas mendakwa lebih RM10 juta hasil pendapatan Kerajaan Selangor hilang berikutan pembabitan tiga pegawai kanan KSSB, sebuah syarikat milik kerajaan negeri, dalam kegiatan melombong pasir secara haram

No comments:

Post a Comment