Sunday, May 23, 2010

Tujuh penyamun van keselamatan tumpas

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

2010/05/24
Bom tangan, raifal AK-47 turut dirampas

GEORGETOWN: Penahanan seorang pengawal keselamatan membongkar kegiatan kumpulan penjenayah yang berbahaya apabila polis berjaya menahan tujuh lagi ahlinya serta merampas empat senjata api, peluru, dua bom tangan serta jaket kalis peluru di sebuah rumah di Sungai Nibong di sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan itu polis menemui dua raifal versi AK-47 buatan China, dua revolver .38 dan dua bom tangan serta berpuluh-puluh peluru 7.62 milimeter (mm), disorok di bawah timbunan batu di belakang rumah itu. Selain jaket kalis peluru, wang tunai berjumlah RM44,000 iaitu sebahagian daripada RM160,000 yang dirompak dari sebuah van keselamatan, Rabu lalu turut ditemui dalam operasi kira-kira jam 7 malam itu. Kepingan besi yang dipercayai untuk digunakan sebagai perisai jika diserang turut ditemui. Semua lapan suspek berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an, termasuk seorang wanita iaitu isteri kepada suspek, manakala seorang lagi warga Indonesia.

Polis juga memburu dua lagi ahli kumpulan itu, Mirza Martias, 38, nombor kad pengenalan 721112-07-5809, beralamat di 290 Blok B MK 12, Kampung Manggis, Sungai Ara, Bayan Lepas dan Sawal Ahmad, 50, (600414-07-5299) beralamat di 704, Mukim A, Sungai Pinang, Balik Pulau.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata satu daripada revolver yang ditemui itu milik pengawal keselamatan yang dilarikan tiga perompak dalam kejadian Rabu lalu, manakala satu lagi revolver juga milik pengawal keselamatan yang dirampas dalam rompakan van keselamatan di Gelugor, November lalu membabitkan wang tunai RM200,000.

“Polis mendapat maklumat kumpulan itu sedang merancang beberapa siri rompakan bersenjata di negeri ini dan di negeri jiran dengan menggunakan modus operasi yang sama.
“Polis menganggap kumpulan ini ganas dan sanggup melakukan apa saja. Kami sedang menyiasat kemungkinan mereka terbabit dalam kes lain,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari Rabu lalu, tiga lelaki bersenjata api merompak van keselamatan yang dalam perjalanan mengutip wang di sebuah pasar raya selepas melakukan kutipan harian di Sungai Dua dan Bayan Baru.

Siasatan mendapati kereta yang digunakan perompak adalah kenderaan sewa yang menggunakan nombor plat palsu.

Ayub berkata, sehari selepas rompakan itu, polis menahan seorang daripada tiga pengawal keselamatan berusia 50-an yang bertugas mengawal van keselamatan pada hari kejadian.

Berdasarkan maklumat pengawal keselamatan itu, polis menubuhkan pasukan khas untuk memburu perompak terbabit hingga membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 38 tahun dan seorang warga Indonesia berusia 49 tahun di Paya Terubong, pada jam 1 pagi kelmarin.

“Polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 30-an di flet Taman Tun Sardon, kira-kira jam 2 pagi, diikuti serbuan di sebuah rumah di Sungai Nibong kira-kira jam 7 malam kelmarin dan menahan empat orang termasuk seorang wanita iaitu isteri kepada seorang suspek,” katanya.

Beliau berkata, berikutan penahanan isteri suspek, polis menemui wang tunai sebanyak RM10,000 di spa milik wanita itu di Bukit Jambul.

“Penahanan mereka membawa kepada penemuan senjata api, peluru dan bom tangan yang disorok di belakang rumah dan wang tunai RM44,000 dalam rumah. Sehingga kini, sebanyak RM54,000 wang tunai ditemui semula,” katanya.

No comments:

Post a Comment