Sunday, May 16, 2010

Suspek curi besi ditahan polis selepas rempuh lembu

KAJANG 16 Mei 2010 - Hasrat tiga penagih dadah untuk menjual besi buruk yang dicuri dari sebuah tapak pembinaan tidak kesampaian apabila kereta yang mereka naiki merempuh sekumpulan lembu di Jalan Jade Hill, di sini hari ini.

Kejadian berlaku pada pukul 1.30 petang ketika penjenayah itu cuba melarikan diri daripada polis peronda yang terserempak dengan mereka di Kilometer 229 Lebuh Raya Utara Selatan, menghala ke utara.

Dalam cubaan melarikan diri itu, kereta suspek turut merempuh penghadang lorong 'Touch n Go' Plaza Tol Kajang sebelum ke Sungai Ramal dan memasuki ke Bukit Angkat.

Namun selepas dikejar sejauh 30 kilometer dan selama 15 minit, akhirnya kereta Toyota Vios itu terlanggar sekumpulan 10 ekor lembu di Jalan Jade Hill.

Jurucakap polis berkata, seorang daripada suspek berusia 43 tahun yang sedang gian berjaya ditahan manakala dua lagi rakannya melarikan diri ke arah hutan berhampiran.

"Berikutan perlanggaran itu, seekor lembu mati manakala dua lagi patah kaki. Hasil pemeriksaan polis menemui 30 batang besi buruk yang dicuri dari tapak pembinaan di Seremban, Negeri Sembilan.

"Polis peronda dari Bukit Aman itu cuba menahan mereka kerana memandu laju dan dalam keadaan mencurigakan selain menggunakan cermin gelap," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek berasal dari Rantau, Negeri Sembilan, mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment