Wednesday, May 19, 2010

UPP gagalkan cubaan seludup dadah RM6 juta

2010/05/19
ALOR SETAR: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) menggagalkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM6 juta ke negara ini dan menahan seorang lelaki warga tempatan yang kini menetap di Hatyai, Thailand dalam sekatan di kilometer 15.1 lebuhraya Changloon, Bukit Kayu Hitam di sini, petang semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata dalam sekatan jam 2.40 petang itu sepasukan anggota UPP Bukit Kayu Hitam menahan kereta jenis Toyota Corona yang menggunakan nombor pendaftaran Thailand yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun. Katanya, selepas membuat pemeriksaan ke atas kereta berkenaan anggota UPP menemui sebanyak 74 ketul serbuk putih mampat yang dibungkus dengan kertas minyak di tempat menyimpan tayar ganti dalam bonet belakang kereta berkenaan. "Hasil pemeriksaan kita mendapati ketulan serbuk mampat adalah dadah jenis heroin yang setiap satunya seberat 400 gram dan dipercayai cuba dibawa ke pulau pinang untuk diproses sebelum dipasarkan di situ.

"Berdasarkan maklumat awal kita percaya dadah ini akan diproses di makmal pemprosesan di Pulau Pinang namun belum dapat memastikan lokasinya buat masa ini.

"Ia masih dalam siasatan namun kita percaya kegiatan ini didalangi oleh sindiket pengedaran dadah terancang," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Syed Ismail berkata, lelaki berkenaan dikenal pasti sebagai warga negara ini yang berasal dari Ayer Hitam, Pulau Pinang dan kini menetap di Haatyai selepas mengahwini seorang wanita pengusaha restoran di sana.

"Berdasarkan semakan kita dapati lelaki ini mempunyai lapan rekod jenayah lampau antaranya jenayah kekerasan yang berkaitan dengan kes samun.

"Lelaki itu direman selama tujuh hari hingga 25 Mei ini. Kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

No comments:

Post a Comment