Tuesday, May 18, 2010

Suami isteri kena belasah 5 penyamun

2010/05/19
KUANTAN: Sepasang suami isteri ditendang dan diketuk dengan alat pemotong besi oleh lima lelaki dipercayai warga asing yang memecah masuk rumah mereka di Felda Kota Gelanggi Tiga, di Jerantut, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi, mangsa seorang pemandu lori dan isterinya masing-masing berusia lingkungan 30-an sedang tidur di ruang tamu bersama empat anak yang masih kecil. Pegawai Turus Urus Setia, Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri, berkata siasatan awal mendapati suspek yang menutup muka menggunakan sapu tangan memasuki rumah terbabit melalui pintu belakang sebelum bertindak mengejutkan mangsa dan isterinya. "Mangsa yang terkejut dengan kehadiran lima lelaki terbabit cuba melawan, tetapi ditendang seorang daripada suspek, manakala isterinya pula diketuk di kepala dengan alat pemotong besi sebelum pasangan terbabit diikat.

"Bagaimanapun, anak mangsa tidak diikat dan tidak menyedari kehadiran penyamun itu kerana tidur nyenyak ketika kejadian itu berlaku," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, melalui keterangan mangsa, suspek terbabit dipercayai warga Indonesia berdasarkan dialek pertuturan mereka.

"Sebaik memastikan mangsa tidak lagi melawan, suspek kemudian menggeledah rumah sebelum melarikan wang tunai RM540 dan barangan bernilai seperti komputer riba, barang kemas serta telefon bimbit, menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM7, 000," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang tidak mengalami kecederaan membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut kira-kira jam 9.30 pagi.

"Usaha memburu suspek kini giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

No comments:

Post a Comment