KUANTAN 11 Mei 2010 - Tidak sampai 12 jam tiga lelaki menyamun empat sekeluarga di Felda Bukit Kuantan, Panching, dekat sini semalam, polis berjaya menahan mereka di sebuah hutan berdekatan Felda itu.
Kesemua suspek yang menganggotai kumpulan dikenali sebagai 'Geng Gas' berusia antara 30 dan 40 tahun itu ditahan secara berasingan pada pukul 12 tengah hari dan 4.30 petang, hasil maklumat awam.
Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata, kejayaan diperoleh selepas polis terserempak dengan seorang ahli geng itu, kira-kira pukul 12 tengah hari.
Katanya, ketika itu, suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas.
"Hasil pemeriksaan polis menemui beberapa barangan samun daripada suspek. Susulan itu, polis memburu dua lagi rakannya yang masih berada di kawasan berdekatan.
"Dengan bantuan unit anjing pengesan, kedua-dua mereka berjaya ditahan pada pukul 4.30 petang dan polis menjumpai semua barangan yang dicuri.
"Barangan itu adalah wang tunai berjumlah RM48,000, barang kemas, jam tangan, sebuah komputer riba, lima telefon bimbit dan kad nilai prabayar bernilai RM200 yang semuanya berjumlah RM150,000," katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kesemua suspek yang dipercayai warga asing itu termasuk dua daripadanya terpaksa dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Afzan (HTAA), ditahan reman bermula semalam.
Dalam pada itu, Sharifuddin melahirkan ucapan terima kasih di atas kerjasama penduduk dalam membantu polis menjejaki 'Geng Gas' tersebut.
"Kita sentiasa mengharapkan bantuan orang awam dalam menangani dan membanteras jenayah. Kita juga bercadang untuk memberi penghargaan kepada mereka yang terlibat," katanya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan empat sekeluarga di Felda Bukit Kuantan disamun tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang yang dikenali sebagai Geng Gas mengakibatkan kerugian lebih RM100,000.
Tuesday, May 11, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment