Sunday, May 9, 2010

Timur: Minyak pelarut pelepas gian penagih tegar

2010/05/10
KUALA TERENGGANU: Penagih yang semakin terdesak berikutan harga dadah yang mahal berikutan penguatkuasaan berterusan pihak berkuasa, sanggup beralih menggunakan minyak pelarut sebagai bahan untuk melepaskan gian.

Walaupun ramai yang sedar penggunaan bahan itu berisiko tinggi merosakkan tubuh dan otak, penagih yang terdesak tidak pernah menghiraukan bahaya yang boleh membawa maut. Tinjauan di pelbagai kawasan di negeri ini termasuk di daerah Setiu mendapati bahan yang mudah dibeli dari kedai menjual barangan logam itu menjadi pilihan penagih tegar. Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Rujahan Ramli, berkata kebanyakan menghidu pelarut itu penagih tegar kerana kesan khayal yang diperoleh lebih berbanding gam dan kosnya rendah.

"Walaupun menghidu minyak pelarut belum diletakkan sebagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya, kita bimbang kandungan kimia dalam bahan itu merosakkan paru-paru dan sistem saraf otak," katanya ketika dihubungi semalam.

"Lebih membimbangkan ialah penagih bahan terbabit boleh bertindak agresif kerana mereka tidak lagi berfikir secara rasional selepas dihidu secara berulang kali.

"Bagi golongan remaja, penggunaan minyak pelarut adalah langkah pertama sebelum mereka terjebak dengan dadah seperti heroin dan pil kuda," katanya ketika dihubungi semalam.
Sehubungan itu, katanya, ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak mereka dan jika mendapati ada yang sudah terjebak dengan gejala itu boleh merujuk kepada agensi itu untuk diberikan bimbingan dan kaunseling.

"Penagih perlu mempunyai kesedaran dan keazaman untuk berubah, tetapi usaha mereka akan lebih berkesan dengan bimbingan dan dorongan ahli keluarga," katanya

No comments:

Post a Comment