Thursday, May 6, 2010

2 lelaki sembunyi 3 pelajar ponteng ditahan

KUANTAN 6 Mei 2010 - Tindakan dua lelaki yang kononnya mahu menjadi 'wira' untuk melindungi teman wanita yang ponteng sekolah bagaimanapun menerima padah apabila mereka ditahan polis atas tuduhan menculik gadis bawah umur.

Kedua-dua lelaki berusia 21 dan 22 tahun itu dikatakan menyembunyikan tiga pelajar perempuan di sebuah hotel di sini kerana pelajar terbabit takut untuk pulang ke rumah selepas kegiatan ponteng mereka dikesan ahli keluarga.

Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Zulkifli Taha berkata, penahanan dua lelaki terbabit berikutan laporan kehilangan tiga pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di sini pada Isnin lalu.

Menurut beliau, pelajar berusia antara 15 hingga 17 tahun itu ditemui di hotel berkenaan kira-kira pukul 9 malam semalam.

Katanya, kedua-dua suspek yang dipercayai teman lelaki kepada dua daripada tiga pelajar terbabit kini ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan.

"Menurut pihak sekolah, ketiga-tiga pelajar itu sering ponteng sekolah. Mereka dipercayai takut apabila guru sekolah mahu memaklumkan kegiatan dan hubungan cinta mereka," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Berikutan itu, kata Zulkifli, pelajar tersebut bertindak melarikan diri dengan bersembunyi di sebuah hotel dengan bantuan teman lelakinya.

Hasil siasatan polis melalui rakan-rakan pelajar terbabit, ujarnya, kedua- dua suspek terbabit ditahan di rumah masing-masing di sini.

"Soal siasat dengan suspek akhirnya berjaya menemui ketiga-tiga pelajar berkenaan dalam keadaan selamat di sebuah hotel," katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan di atas kesalahan menculik daripada penjagaan yang sah.

"Jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara tujuh tahun dan denda kerana menculik gadis bawah umur 16 tahun," ujarnya.

No comments:

Post a Comment