Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com
2010/05/14
Tertuduh mengaku samun berkumpulan, rakan masih bebas
KOTA BHARU: Mahkamah Sesyen di sini semalam, menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan terhadap seorang lelaki yang mengaku salah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang peniaga buah di Machang, pada 5 Mei tahun lalu. Hukuman terbaru itu menjadikan Tengku Fazli Tengku Zainal, 27, dari Kampung Kelar, Pasir Mas, terpaksa menghabiskan hidup di penjara dengan keseluruhannya selama 34 tahun dan 12 sebatan berikutan beliau sudah dijatuhi hukuman penjara 19 tahun dengan dua sebatan dan penjara 12 tahun dengan lima sebatan yang berjalan serentak atas dua kesalahan merompak yang dilakukannya sebelum ini. Hakim Dazuki Ali, ketika membuat keputusan itu, memerintahkan hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan itu, berkuat kuasa selepas hukuman yang dijalani tertuduh ketika ini, berakhir.
Ketika prosiding semalam, tertuduh yang diwakili peguam bela, Nor Erini Mustafa Kamal, mengaku salah merompak secara berkumpulan pada 5 Mei tahun lalu, kira-kira jam 4 petang di hadapan Masjid Ubudiah dekat Batu 23, Labok Pulai Chondong, Machang.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan, dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan kesalahan itu ketika mengunjungi gerai terbabit bersama dua rakannya yang masih bebas, ketika mangsa mahu membuka gerainya.
Tertuduh berpura-pura bertanya harga buah kepada mangsa dan kembali ke kereta sambil berkata sesuatu kepada dua rakannya, sebelum menghampiri mangsa dan mengacukan pisau ke arah perutnya sambil mengancam membunuhnya jika berbuat bising.
Tertuduh kemudian mengambil beg tangan mangsa yang terletak di kerusi, kunci dan wang tunai RM500 dengan jumlah kerugian RM540 sebelum melarikan diri.
Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Pulai Chondong, Machang pada hari sama dan tertuduh diberkas pada 25 Ogos tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Rehan Mohd Aris ketika prosiding memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat berikutan tertuduh sebelum ini memiliki rekod kesalahan lampau.
Thursday, May 13, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment