BESUT 27 Mei 2010 - Polis menahan sembilan orang termasuk sepasang suami isteri yang dipercayai terlibat dengan satu sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah Besut dalam satu operasi yang bermula dari pukul 4.30 petang semalam sehingga tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, ia bermula dengan serbuan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Besut dan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu ke atas sebuah rumah di Kampung Lak Lok, dekat sini kira-kira 4.30 petang.
"Dalam serbuan itu polis menahan sepasang suami isteri berumur 44 dan 41 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah," katanya.
"Ia berdasarkan penemuan 14 ketulan ganja mampat dan tiga paket ganja kesemuanya seberat 9.67 gram yang dianggar bernilai RM4,000 di rumah itu yang turut dihuni oleh enam orang anak pasangan itu, yang berumur antara 13 dan 18 tahun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, polis turut menyita sebuah lori kecil, sebuah motosikal serta barang kemas bernilai RM10,000 dan wang tunai RM3,650 daripada pasangan itu yang dipercayai hasil jualan dadah.
Ekoran penahanan pasangan suami isteri itu, polis melancarkan operasi bagi mencari anggota kumpulan itu dan berjaya menahan tujuh lelaki berumur antara 37 dan 45 tahun di sekitar Besut.
Selain menjadi penagih, mereka dipercayai turut terlibat menjadi pengedar secara kecil-kecilan dengan memperoleh bekalan dadah daripada pasangan itu.
Menurutnya, kedua suami isteri itu ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Tujuh suspek lagi ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Akta Penagihan Dadah dan Akta Pemulihan 1983. - BERNAMA
Thursday, May 27, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment