2010/05/14
CHENNAI: Satu lagi helah untuk menyeludup dadah jenis ketamine ke Malaysia dengan menyembunyikan bahan itu di dalam mesin menjual ais krim terbongkar di Lapangan Terbang Chennai, berikutan penahanan seorang penganggur lelaki warga India.
Berdasarkan maklumat awam, Unit Risikan Udara Kastam Chennai yang mengawasi penumpang ke Malaysia, mengecam seorang seorang suspek yang membawa satu bungkusan besar memasuki lapangan terbang itu. Seorang mata-mata gelap menahan Mani Viyakumar, berusia 32 tahun, dan semasa soal siasat suspek yang gementar itu mendedahkan bahawa dia membawa bahan narkotik ke Malaysia. Pegawai kastam kemudian meleraikan mesin menjual ais krim itu dan menemui sejumlah 14.79 kilogram ketamine disembunyikan di dalamnya.
"Dadah itu disembunyikan dengan teliti di ruang kosong mesin ais krim dibawa Mani yang kononnya untuk dijual di luar negara. Penumpang itu ditahan kerana keadaannya mencurigakan," kata Pesuruhjaya Kastam (Lapangan Terbang dan Karggo Udara), R Periasamy, dalam satu kenyataan.
Pegawai Kastam menganggarkan dadah itu, yang lebih dikenali sebagai "dadah pesta" boleh mencecah nilai RM1 juta di pasaran antarabangsa.
Dadah jenis ketamine hidroklorik yang sering digunakan sebagai ubat penenang haiwan, sangat mudah diperoleh di India dan banyak diseludup ke negara Asia Tenggara kerana permintaan tinggi dan harga jualan yang mahal.
Antara 2008 dan 2009, kira-kira 123 kg ketamine dirampas di lapangan terbang Chennai sahaja.
Berikutan pemeriksaan ketat di lapangan terbang dan pelabuhan di selatan negara itu, penyeludup kini menggunakan laluan lain seperti lapangan terbang Cochin, Hyderabad dan Coimbatore. - Bernama
Thursday, May 13, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment