Wednesday, May 26, 2010

Penjenayah larikan barang kemas bernilai RM50,000

JASIN 26 Mei 2010 - Dua penjenayah bersenjatakan parang mengambil masa hanya kira-kira lima minit sebelum melarikan tiga dulang barangan kemas bernilai RM50,000 dalam rompakan di sebuah kedai emas berhampiran Stesen Bas Merlimau, dekat sini hari ini.

Penjenayah yang dalam lingkungan berusia 20-an dan memakai topeng mulut dan hidung H1N1 bertindak meluru masuk ke dalam kedai itu pada pukul 12.45 tengah hari.

Kejadian berlaku ketika pemiliknya baru membuka pintu besi premis tersebut untuk memulakan perniagaan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, salah seorang suspek mengacukan parang di leher mangsa manakala rakannya memasukkan barang kemas ke dalam beg sandang.

"Kedua-dua suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal Yamaha 125Z yang diletakkan di hadapan kedai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedai itu tidak memasang kamera litar tertutup (CCTV) kerana baru memulakan operasinya kira-kira dua bulan lalu.

Che Suza berkata, kedua-dua suspek memiliki ketinggian kira-kira 170 sentimeter dan berkulit gelap.

"Parang yang digunakan oleh dua perompak terbabit juga dipercayai baru dibeli. Oleh itu, kita minta mana-mana premis yang baru menjual parang baru-baru ini, agar tampil membantu polis," katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai maklumat agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment