KOTA TINGGI 25 Mei 2010 - Para nelayan tempatan di sekitar perairan Pengerang di sini tidak dapat menyembunyikan rasa bimbang apabila 13 kes kehilangan bot dan enjin sangkut dilaporkan berlaku di kawasan itu.
Kecurian itu dikatakan sering berlaku pada waktu awal pagi, menyukarkan usaha mereka untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab.
Namun, kebimbangan para nelayan itu sedikit reda apabila Pasukan Gerakan Marin (PGM) berjaya menahan lima ahli 'Geng Din Busut' yang dipercayai terlibat dalam kecurian itu, awal pagi ini.
Kejayaan itu berhasil pada pukul 3.10 pagi apabila sepasukan anggota PGM Wilayah Dua menahan lima lelaki berusia antara 20 hingga 43 tahun di perairan Tanjung Pengelih berhampiran Jeti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dekat sini.
Ketika ditahan, lima ahli geng itu sedang menunda sebuah bot lain dipercayai baru dicuri di perairan berkenaan.
Komander Markas PGM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Mohd. Khamsani Abdul Rahman berkata, kumpulan itu biasanya mencuri bot atau enjin bot milik nelayan tempatan antara tengah malam sehingga awal pagi dengan memotong rantai besi yang mengikat bot atau enjin.
"Mereka beroperasi secara berulang-alik dari tempat asal mereka. Kebiasaannya mereka akan datang pada awal pagi untuk menangkap ikan seperti nelayan lain tetapi apabila tengah malam, kumpulan ini menjalankan operasi mencuri bot dan enjin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, susulan serbuan itu, pihaknya merampas dua buah bot yang dinaiki geng tersebut selain menemui pemotong besi dan tiga bilang parang dalam bot berkenaan.
Mohd. Khamsani berkata, Geng Din Busut bukan satu-satunya kumpulan yang menjalankan kegiatan mencuri bot dan enjin di kawasan berkenaan kerana pihaknya telah mengenal pasti beberapa geng lain yang turut menjalankan kegiatan yang sama.
Sehingga kini, 13 kes kecurian bot dan enjin dilaporkan berlaku di Ulu Tiram, Adela, Tanjung Pengelih dan Teluk Sengat.
Selain dijual, bot dan enjin yang dicuri itu digunakan untuk merompak.
Mohd. Khamsani berkata, kelima-lima suspek kini ditahan di Balai Polis Pengerang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
Tuesday, May 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment