Monday, May 10, 2010

Polis rampas 1.9 kilogram heroin

PULAU PINANG 10 Mei 2010 - Polis berjaya merampas lebih 1.9 kilogram dadah dipercayai jenis heroin bernilai RM100,000 selepas menyerbu sebuah apartmen di Green Lane di sini pada Jumaat lalu.

Dalam serbuan yang dilakukan pukul 3.15 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, kejayaan ini adalah hasil rondaan yang dijalankan oleh polis di kawasan 'panas' dan maklumat yang diterima daripada orang awam.

"Hasil serbuan itu, kita berjaya menemui dadah dipercayai heroin selain menyita harta suspek seperti kereta jenis Toyota Vios dan barangan kemas bernilai RM3,000," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Khas Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Tambahnya, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah kini ditahan reman selama lima hari sehingga 12 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, polis sangat komited untuk memerangi gejala rasuah dan akan menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri bagi tujuan itu.

"Kita akan memberi sokongan penuh dalam usaha menangani rasuah dengan memulakan langkah-langkah yang perlu supaya ia dapat menimbulkan kesedaran terutama di kalangan anggota dan pegawai polis," ujarnya

No comments:

Post a Comment