Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my
2010/05/06
Tukang paip juga dikenakan lima sebatan
KANGAR: Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menjatuhi hukuman penjara 13 tahun dan lima sebatan ke atas seorang tukang paip berusia 29 tahun selepas didapati bersalah meliwat anak perempuannya yang berusia sembilan tahun, September tahun lalu. Hakim Wan Norzannuar Wan Ahmad mengenakan hukuman tegas itu kerana mahkamah berpendapat kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius, sedangkan dia sepatutnya menjadi pelindung ke atas mangsa. Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 11 malam, 15 September tahun lalu dalam sebuah bilik tidur di rumahnya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu dengan memasukkan zakar ke dalam dubur anak perempuannya yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara lima dan 20 tahun serta sebatan.
Wan Norzannuar ketika menjatuhi hukuman berkata, sebagai seorang ayah, tertuduh tidak sepatutnya melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu lebih-lebih lagi ke atas anak sendiri.
"Masyarakat tidak boleh terima perbuatan tidak berperikemanusiaan kamu itu. Justeru, atas dasar keseriusan kes serta kepentingan awam, maka saya jatuhkan hukuman penjara 13 tahun bermula tarikh tangkapan serta lima sebatan ke atas kamu.
"Kamu sebagai seorang ayah tergamak melakukan perkara itu ke atas anak kamu yang baru berusia sembilan tahun ketika itu. Kamu sepatutnya melindungi dan mendidiknya kerana dia masih kecil dan langsung tidak tahu apa-apa," katanya.
Teguran pedas daripada hakim itu menyebabkan tertuduh yang kelihatan sugul, mula menundukkan mukanya kerana malu dengan apa yang dilakukannya.
Wednesday, May 5, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment