Monday, May 17, 2010

Makmal proses dadah dibongkar, dadah bernilai RM1 juta dirampas

2010/05/17
GEORGETOWN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Timur Laut membongkar sebuah makmal memproses pelbagai jenis dadah dan merampas dadah terbabit bernilai RM1 juta dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Tanjung Tokong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kon Meng, berkata serbuan itu dilakukan jam 10 malam semalam hasil makluman awam dan intipan anggotanya sejak tiga hari lalu. "Berikutan intipan itu, polis menyerbu rumah berkenaan dan berjaya menahan seorang wanita warga China, 28, ketika sedang membuka pagar rumahnya itu. "Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai jenis dadah antaranya ialah heroin seberat lima kilogram, ganja seberat 0.3 kg, syabu seberat 0.3 kg, ketamin seberat 0.4 kg, pil kuda sebanyak 1,755 bungkus, pil ekstasi sebanyak 20
bungkus, dan serbuk ekstasi yang belum dibungkus seberat 15 kg," katanya.

Gan berkata, pelbagai peralatan memproses dadah seperti tong gas, ketuhar, pescucor, lima botol asid, kafein, bahan pewarna, lampu serta alat timbang turut dirampas.

Beliau berkata, polis turut merampas sepucuk pistol mainan dan turut menyita sebuah Nissan Sentra yang digunakan oleh wanita berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati suspek yang berasal dari Shandong, China itu mempunyai pasport dan visa tamat tempoh Jun ini," katanya.

Wanita itu kini ditahan reman dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, dadah pelbagai jenis itu dipercayai dipasarkan di sekitar negeri ini serta negeri berhampiran.

Katanya, rampasan itu adalah yang terbesar bagi JSJN Timur Laut dalam tempoh lima bulan pertama ini.

Beliau berkata, siasatan akan terus dilakukan bagi mengenal pasti sama ada sindiket ini mempunyai kaitan dengan kes di kawasan perumahan Bukit Jambul baru-baru ini.

"Kita juga akan siasat berapa lama sindiket ini telah beroperasi dan jika terdapat anggota lain lagi dalam sindiket ini," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment