Sunday, May 16, 2010

Cubaan rompak mesin ATM gagal

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
2010/05/17


ANGGOTA polis memeriksa ATM yang dikopak dalam kejadian di Jalan Bentayan, Muar, awal pagi semalam.Polis teliti rakaman CCTV kesan penyamun

MUAR: Hasrat seorang penjenayah untuk memperoleh wang segera dengan mengopak mesin pengeluar wang automatik (ATM) EON Bank di Jalan Bentayan di sini, menjadi sia-sia apabila gagal mengeluarkan sebarang wang awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, penjenayah itu yang dipercayai bertindak berseorangan dikatakan mengopak skrin pemuka ATM dengan menggunakan penukul besi serta topi keledar sehingga menyebabkan mesin itu rosak teruk. Bagaimanapun, tindakannya gagal apabila tidak dapat mengeluarkan peti yang menyimpan wang tunai dalam ATM bank berkenaan yang terletak bersebelahan pejabat The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad cawangan Muar.

Kejadian itu hanya disedari oleh polis apabila alat penggera bank itu berbunyi kira-kira jam 5 pagi menyebabkan sebuah kereta peronda dihantar ke lokasi itu sebelum mendapati mesin ATM berkenaan dikopak.

Pengurus bank berkenaan yang dimaklumkan kejadian itu turut bergegas ke tempat kejadian sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, kira-kira jam 8 pagi.

Kakitangan bank dan pasukan polis yang membuat pemeriksaan terhadap mesin ATM itu kemudian mendapati tiada sebarang wang tunai berjaya dikeluarkan oleh penjenayah itu.
Difahamkan tindakan penjenayah itu menyebabkan kerosakan teruk mesin ATM dengan melebihi RM10,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Lee Choon Guan, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut kes itu termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditempatkan berhampiran mesin ATM itu.

“Siasatan awal mendapati penjenayah tidak dapat melarikan wang tunai walaupun mesin ATM itu mengalami kerosakan teruk dengan kesan kopak pada skrin ATM,” katanya.

Katanya, setakat ini, pihaknya belum dapat memastikan sama ada penjenayah itu bertindak secara bersendirian atau berkumpulan

No comments:

Post a Comment