Friday, May 21, 2010

Tengkorak, rangka manusia ditemui berdekatan Lebuh Raya Utara Selatan

2010/05/21
KUALA LUMPUR: Seorang pekerja pembersihan terkejut selepas menemui tengkorak dan rangka manusia dipercayai wanita, ketika membersihkan kawasan semak di Kilometer 456.1 Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan susur Sungai Buloh, menghala Utara, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 4.15 petang itu, turut ditemui berselerak berhampiran tengkorak dan rangka terbabit ialah peralatan wanita seperti pencuci rambut, bedak, berus gigi, sepit kuku dan cermin kecil. Turut ditemui di kawasan semak yang jaraknya kira-kira 20 meter dari tepi lebuh raya berkenaan ialah pakaian wanita Punjabi berwarna biru. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abd Rahim Abdullah, berkata pemeriksaan yang dijalankan sekitar tempat kejadian sebaik menerima maklumat, tiada menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, rangka terbabit dipercayai berada di kawasan itu sejak sebulan lalu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identitinya selain menyiasat sama ada kejadian ada kaitan dengan unsur jenayah.

“Tengkorak dan rangka terbabit dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut. Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan anggota keluarga supaya menghubungi balai polis berdekatan,” katanya di sini, semalam

No comments:

Post a Comment