Monday, May 17, 2010

Lelaki bawa van curi lembu ditahan

KENINGAU 17 Mei 2010 - Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan polis selepas didapati positif dadah dan membawa kenderaan curi yang dipercayai digunakan untuk mencuri lembu serta kerbau penduduk di daerah ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zahari Mohamed berkata, lelaki berasal dari Tenom itu ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Batu 18, Jalan Keningau-Sook pada pukul 4.30 petang semalam.

''Hasil pemeriksaan, polis turut menjumpai satu peket plastik berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu seberat 0.20 gram. Sebuah van jenis Toyota berwarna putih turut dirampas kerana disyaki kereta curi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menambah, lelaki itu kini ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Katanya, semakan yang dibuat mendapati kereta tersebut mempunyai kaitan dengan laporan kehilangan kereta di Luyang, Kota Kinabalu dan terdapat beberapa utas tali pengikat lembu di dalam kereta itu.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, Zahari berkata, dua wanita warga Indonesia dan Filipina berusia 29 dan 19 tahun ditahan polis kerana disyaki menyimpan dadah.

''Warga Indonesia ditahan di sebuah rumah di Kampung Patikang Ulu kira-kira pukul 11.00 malam Sabtu lalu.

''Wanita berkenaan telah menunjukkan satu bekas tin dan di dalamnya mengandungi satu peket plastik dan tujuh tiub straw berisi hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu dengan berat dianggar 5.2 gram," katanya.

Beliau menambah, wanita warga Filipina pula ditangkap dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 18, Jalan Keningau-Sook kira-kira pukul 3 petang semalam.

Katanya, wanita tersebut kemudiannya menunjukkan sebuah beg warna keemasan mengandungi 11 paket plastik jernih pelbagai saiz berisi ketulan-ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 6.50 gram.

Menurutnya, kedua-dua wanita berkenaan disahkan positif dadah setelah menjalankan ujian awal air kencing.

''Kedua-dua wanita yang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri itu kini disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) (r) Akta Dadah Berbahaya 1952.

No comments:

Post a Comment