Thursday, May 27, 2010

Utara: 'Pencuri alim'

Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2010/05/28
•Datang sebagai jemaah niat mahu mencuri

•Enam tabung besi, 10 kepala paip dicuri
JITRA: Mereka datang sebagai jemaah, namun bukan pahala yang dicari sebaliknya dosa kerana kehadiran mereka ke situ adalah untuk mencuri dan juga mengintai peluang apa yang boleh dikebas. Inilah yang berlaku di masjid Kampung Bukit Tinggi, Kepala Batas, dekat sini apabila ada yang berpura-pura sebagai jemaah sebenarnya adalah penyangak. Terbaru, enam tabung masjid itu menjadi sasaran dan dipecahkan.
Masjid yang menjadi tempat 2,000 jemaah dari lima kampung berhampiran untuk menunaikan solat itu menjadi sasaran pencuri bukan pada waktu malam sebaliknya pada waktu siang disebabkan lokasinya yang agak sunyi dan terpencil.

Imam masjid itu, Abdullah Mohd Said, 71, berkata sebelum ini 10 kepala paip tembaga di tempat mengambil wuduk di masjid itu dicuri menyebabkan pihak masjid terpaksa menggantikan dengan kepala paip plastik untuk mengelak kejadian berulang.

Beliau berkata, kejadian curi di masjid itu dipercayai sudah hampir 10 kali berlaku sehingga mengundang kebimbangan di kalangan jemaah yang kebanyakan dari Kampung Bukit Tinggi, Kampung Kepala Bendang, Kampung Hilir, Kampung Alor Rambai, Kampung Pelubang dan Taman Tabung Haji, dekat sini.
Katanya, pencuri turut menyamar sebagai jemaah masjid seolah-olah hendak menunaikan solat di situ tetapi sebaliknya melakukan kegiatan jenayah.

"Ada jemaah ternampak kelibat seorang lelaki yang berpakaian sopan dan masuk ke masjid untuk mencuri.

"Enam tabung masjid di sini biasanya hanya akan dipungut selepas tiga hari dan wang yang diperoleh diguna untuk sedekah kepada fakir miskin atau golongan kurang berkemampuan.

"Selebihnya, wang itu akan digunakan untuk membeli peralatan masjid untuk menambah atau menggantikan barang yang rosak," katanya.

Abdullah berkata, beliau sudah membuat dua laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kubang Pasu berhubung kejadian curi di masjid itu yang mana laporan pertama dibuat awal tahun ini dan kedua pada 16 Mei lalu.

Bendahari masjid itu, Ahmad Din, 61, berkata beliau hanya menyedari kejadian itu pada 16 Mei lalu selepas selesai solat Subuh kira-kira jam 6.30 pagi dan ternampak beberapa tabung masjid diumpil manakala pemain cakera padat video (VCD) yang dianggarkan bernilai RM300 pula didapati hilang.

Beliau berkata, ini adalah kerugian paling banyak dan wang tunai yang hilang dianggarkan lebih RM500.

"Disebabkan itu, kami terpaksa menggunakan rantai untuk mengunci rak besi yang menyimpan pemain VCD dan alat pembesar suara untuk mengelak dicuri lagi.

"Kami ahli jawatankuasa masjid terpaksa bergilir-gilir menjaga kawasan masjid pada waktu malam dan siang bagi mengelakkan kejadian kecurian," katanya.

Ahmad berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan bagi menyelesaikan kes itu.

Katanya, pihaknya dimaklumkan polis sudah menahan seorang suspek berusia 30-an untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment